Monday, June 29, 2009

SOAL JAWAB TATKALA SAKARATUL MAUT

( Jawaban Roh )

Diriwayatkan, tatkala Malaikat maut mencabut roh seseorang mukmin, maka berkatalah ruh “Aku tidak akan ikut selagi engkau belum diperintah untuk urusan itu”. Lalu ruh menuntut alamat dan tanda-tanda seraya berkata “ Sesungguhnya Tuhanku telah menjadikan aku dan memasukkan aku kedalam tubuhku, ketika itu engkau tidak ada. Adapun sekarang engkau akan mengambil aku”.

Maka kembalilah Malaikat maut kepada ALLAH SWT. Lalu ALLAH berfirman yang bermaksud “ Apakah kamu telah mencabut ruh dari seorang hamba-hambaku ?”

Malaikat maut menjawab “ Ya ALLAH, bahawasanya hamba Mu berkata seperti Itu…..dan ia menuntut alamat dan tanda-tanda kepadaku”. ALLAH berfirman lagi yang bermaksud “ Sungguh benar ruh hamba ku”. Lalu ALLAH berfirman “ Wahai malaikat maut, pergilah ke surga, ambillah tuffah dan itulah tanda-tandaku dan perlihatkanlah kepada ruh hamba Ku”. Malaikat maut lalu berangkat ke surga dan mengambil tuffah yang di atasnya tertulis :

Artinya “ Dengan nama ALLAH yang maha pemurah lagi maha penyayang ”

Setelah tuffah itu di perlihatkan kepada ruh, maka keluarlah ruh tersebut dengan sempurna.


( Jawaban Anggota badan )

Dalam satu riwayat yang lain, tatkala sakaratul maut, maka datanglah Malaikat maut di sisi mulut untuk mencabut roh seseorang hamba dari mulutnya. Maka keluarlah dzikir dari mulutnya seraya berkata “ Tidak ada jalan bagimu dari arah ini”.

Maka kembalilah Malaikat maut ke sisi ALLAH menyampaikan akan hal sedemikian itu. Lalu ALLAH memerintahkan “ Cabutlah dari arah yang lain”.

Lalu Malaikat maut mendatangi dari sisi tangan seseorang hamba itu, namun keluarlah pula sedekah seraya berkatalah tangan “ Tiada jalan bagimu untuk mencabut nyawa, sebab ia bersedekah dengan aku, mengusap anak yatim dengan aku, begitu pula menulis kalam dan memukul leher-leher orang kafir dengan pedang pada aku.

Selanjutnya Malaikat maut datang ke sebelah kaki, dan kaki pula berkata “ Tidak ada jalan bagi mu dari arah ku, sebab ia berjalan dengan aku untuk berjemaah, berhari raya, ke majlis-majlis ilmu dan belajar”.

Malaikat lantas mendatangi ke sisi telinga. Lalu telinga berkata “ Tiada jalan bagi mu dari arahku, sebab ia mendengar AL-QURAN , suara azan dan dzikir dengan aku”. Lalu Malaikat mendatangi kedua mata. Maka kedua mata itu berkata “ Tiada jalan bagimu dari arah kami, sebab ia melihat dengan aku mushaf-mushaf, wajah-wajah para alim ulama, kedua orang tua dan para shalihin”.

Akhirnya Malaikat maut kembali kepada ALLAH seraya berkata “ Wahai Tuhanku,

Bahawasanya hamba Mu berkata demikian….demikian….”

Maka ALLAH berfirman yang bermaksud “ Wahai Malaikat maut, gantunglah nama Ku pada tapak tanganmu, dan perlihatkanlah kepada rohnya hamba Ku sehingga ia melihatnya”.

Kemudian Malaikat maut pergi dan menulis nama ALLAH pada tapak tangannya lalu memperlihatkan kepada roh seorang hamba. Maka keluarlah ruhnya seorang hamba itu dengan berkat nama ALLAH.

ALLAH S.W.T berfirman yang bermaksud ;

“ Maka adakah orang-orang yang dibukakan ALLAH hatinya untuk ( menerima ) agama Islam lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya”.

( Az-Zumar : 22 )

Disebutkan dalam sebuah hadith “ 5 perkara merupakan bisa yang mematikan dan 5 perkara yang lain adalah ubatnya”.

1. Dunia adalah bisa yang mematikan, zuhud adalah ubatnya.

2. Harta adalah bisa yang mematikan, zakat adalah ubatnya

3. Ucapan adalah bisa yang mematikan, dzikirullah adalah ubatnya.

4. Seluruh umur adalah bisa yang mematikan, taat adalah ubatnya.

5. Seluruh tahun adalah bisa yang mematikan, bulan ramadhan adalah ubatnya.


Dalam sebuah Hadith lain, apabila seoarng hamba sudah sampai pada nazak, maka menyerulah penyeru dari sisi ALLAH : Tinggalkanlah ia sampai istirehat seketika.

Demikian pula jika ruh itu sampai di kedua lutut dan pusar. Dan jika sudah sampai pada kerongkong, maka datanglah panggilan : Tinggalkanlah ia sampai anggota-anggota badan itu minta izin berpisah dengan anggota badan yang lainnya.

Maka mata meminta izin berpisah dengan mata, demikian pula kedua telinga, kedua tangan, kedua kaki dan seterusnya.

Maka kita pohon perlindungan ALLAH hendaknya janganlah berpisahnya ma’rifat dan iman dari hati.

Demikian tinggallah segala-galanya. Maka jika ia tidak melihat Tuhan yang Maha Mulia, sungguh merugikan ia dengan kerugian yang amat besar.

Imam Abu Hanifah ra. berkata “ Kebanyakan sesuatu yang merosak iman dari seorang hamba adalah waktu nazak”.

Semoga ALLAH S.W.T menjaga akan rosaknya iman kita.

Saturday, May 23, 2009

MALAIKAT MAUT MENCABUT NYAWA

Kematian yang dirasakan sekalian makhluk itu dengan adanya malaikat maut yang ditugaskan oleh ALLAH S.W.T iaitu Malaikat Izrail as bagi urusan pencabutan nyawa.

Adapun bagaimana cara nyawa itu dicabut dari jasad bukanlah urusan kita, namun sebagai manusia yang pasti akan merasakan maut perlulah kita memerhatikan keterengan-keterangan yang mengemukakan perihal Malaikat Maut mencabut nyawa.

Tatkala tibanya ajal, maka tibalah naskah kematian kepada Malaikut Maut dan sakit pula mendatangi seseorang hamba itu.

Malaikat Maut : “Wahai Tuhanku, bilakah aku mencabut nyawa seorang hamba ? Dan dalam keadaan apa dan bagaimana aku menghilangkannya ?”

ALLAH Ta’ala : “Wahai Malaikat Maut, ini adalah ilmu yang asing. Siapapun tak akan mengerti selain Aku. Akan tetapi Aku memberitahukan kepadamu mengenai kedatangan waktunya. Dan Aku buatkan tanda-tanda kepadamu yang berdiri padanya”.

Malaikat : “Habisklah jiwa Fulan….”

Malaikat yang menjaga rezeki dan amal berkata : “Habislah rezeki dan amalnya”.

Jika ia termasuk orang yang bahagia, maka terbuktilah pada namanya yang tertulis pada lembaran di sisi Malaikat Maut berupa tulisan dari Nur yang putih di sisi namanya.

Jika ia termasuk orang yang celaka, maka tanda bukti itu nampak dengan tulisan hitam.

Maka bagi malaikat tidak dapat sempurna dalam mengetahui hal itu, sehingga gugurlah daun-daun dari pohon yang berada di bawah arasy. Dan nama hamba itu tertulis pada daun tersebut, dimana pada saat itulah ia dicabut nyawanya.

Diriwayatkan dari Ka’bil Akhbar, bahawasanya ALLAH Ta’ala menjadikan pohon di bawah arasy dimana pohon-pohon itu mempunyai daun sejumlah bilangan seluruh makhluknya . Jika ajal seseorang hamba telah diputuskan, gugurlah daunnya di tempat Izrail as iaitu 40 hari lebih awal dari saat pencabutan nyawanya. Maka dengan itu tahulah Malaikat Maut bahawa ia diperintahkan mencabut nyawa hamba tersebut. Dan setelah itu mereka menyebutnya mayat di langit, padahal ia masih hidup dipermukaan bumi selama 40 hari lagi.

Disebutkan, Mikail as turun dengan lembaran kepada Malaikat Maut dari sisi ALLAH. Dalam lembaran itu tertulis nama hamba tersebut untuk dicabut nyawanya, tempat ia dicabut dan sebab-sebab ia dicabut.

Adapun, untuk mengetahui tempat di mana ia mati, maka disebutkan bahawa ALLAH Ta’ala menjadikan malaikat Arham yang diserahi kelahirannya. Jika ALLAH menjadikan kelahiran, maka ia memerintahkan malaikat untuk masuk dalam sperma yang berada dalam rahim ibunya dengan debu bumi yang ia akan mati di tempat itu. Walau kemana hamba itu pergi, ia akan kembali pada tempat pengambilan debu. Maka ia akan mati di tempat tesebut.

Hal ini ditunjukkan dalam Firman ALLAH SWT yang bermaksud :

“Katakanlah : Sekiranya kamu berada di rumahmu nescaya orang-orang yang telah ditakdirkan akan mati terbunuh itu keluar ( juga ) ke tempat mereka terbunuh”.

( Ali Imran : 154 )

Dalam satu hikayat, Malaikat Maut dilihat pada zaman dahulu. Pada suatu hari ia datang kepada nabi Sulaiman as. Ia melihat seorang pemuda di sisi Nabi Sulaiman as. Maka pemuda itu gementar. Setelah Malaikat Maut itu beredar, berkatalah pemuda itu “ Wahai Nabi ALLAH, aku menghendaki agar engkau memerintahkan angin untuk menghantar aku ke negeri cina”.

Maka, Nabi Sulaiman as memerintahkan angin membawa pemuda tersebut ke negeri cina. Setelah itu Malaikat Maut kembali kepada Nabi Sulaiman as.

Malaikat berkata : “ Sesungguhnya aku diperintahkan mencabut nyawa pemuda pada hari itu di negeri cina. Adapun aku melihat ia berada disisi mu. Maka aku kagum dari hal itu.

Nabi Sulaiman as menceritakan bahawa ia memerintahkan angin menghantar pemuda tersebut ke negeri cina.

Malaikat Maut berkata : “ maka aku mencabut nyawanya pada hari itu di negeri cina”.

Dalam satu hadits, Nabi SAW bersabda : “ Ajal-ajal binatang ternakan sentiasa dalam ingat kepada ALLAH Ta’ala. Oleh kerananya jika mereka meninggalkan mengingati ALLAH, maka ALLAH mencabut nyawa mereka”.

Telah kita sedia maklum, bahawa ALLAH adalah zat pencabut nyawa-nyawa makhluknya. Hanya saja hal itu disandarkan kepada malaikat maut. Sebagaimana kematian itu disandarkan kepada pembunuh dan adapun mati itu pula disandarkan kepada sakit.

Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud :

“ ALLAH memegang jiwa ( orang ) ketika matinya”.

( Az-Zumar : 42 )

Saturday, November 1, 2008

AL-MAUT

AL-MAUT atau difahami juga dengan istilah “Kematian”.
Apa yang dikatakan mati itu, bagaimanakah hal keadaannya seseorang hamba itu tatkala datangnya kematian.
Pengarang kitab “Alam barzakh” telah menukilkan beberapa ayat-ayat AL-QURAN dan Hadiths Nabi S.A.W yang menerangkan tentang perihal kematian.

Untuk memulakan keterangan bab “AL-MAUT” ini, terlebih dahulu eloklah kita ketahui
Apakah sebenarnya mati itu ?
Secara ringkasnya bahawa mati itu berpisahnya nyawa ( Roh ) dengan badan ( Jasad ).
Yakni Roh keluar dari Jasad apabila dicabut oleh Malaikat Maut ( Izrail as ) tatkala tibanya ajal seseorang hamba sepertimana yang telah ditetapkan oleh Penciptanya iaitu ALLAH S.W.T

Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud :
“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati”
( Ali Imran : 185 )

Juga Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud :
“Maka apabila telah tiba waktu ( yang ditentukan) bagi mereka, tidaklah mereka dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak ( pula ) mendahulukannya”
( An-Nahl : 61 )

Adapun, peringkat kematian makhluk-makhluk itu tidak lah sama, ada yang matinya sebelum datangnya kiamat, sepertimana golongan manusia, jin dan haiwan.
Ada pula yang matinya setelah datangnya hari kiamat sepertimana golongan para malaikat dan begitu juga iblis itu yang telah dipanjangkan oleh ALLAH usianya sehingga tibanya hari kiamat.
Yang pastinya bahawa seluruh makhluk itu akan merasai kematian walau dimana pun ia berada.

Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud :
“Dimana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu,walaupun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh”
( An-Nisaa’ : 78 )

Juga Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud :
Katakanlah “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu”
( Al-Jumu’ah : 8 )

Apabila ajal telah tiba, maka berpisahlah antara roh dan jasad. Hadits Nabi S.A.W ada menyingkap tentang berat dan ngeri serta sakitnya apabila roh dicabut dari jasad disaat sakaratul maut.

Rasulullah SAW . bersabda :
Artinya : “( Sakitnya sakaratil maut itu ) kira-kira tiga ratus sakitnya pukulan dengan pedang”
( Diriwayatkan Imam Ibnu Abi Dunya )

Adapun bagi para mukminin, keluarnya roh dari jasad adalah lebih ringan dibandingkan dengan orang-orang kafir, munafik dan musyrik yang keluarnya ditarik dengan cara yang amat keras sekali oleh malaikat Izrail as.
Namun walaupun dicabut dengan perlahan sekali, kesakitan dan keperitan sakaratil maut itu tetap akan dirasakan. Disebutkan dalam satu riwayat, apabila sampai naza’ seseorang hamba itu, maka mulutnya terkunci dan datanglah 4 malaikat kepadanya.
Malaikat yang pertama mengucap salam seraya berkata “aku adalah yang diserahi rezekimu yang telah aku usahakan dari bumi timur dan barat. Maka aku tidak mendapatkan sesuap dari rezekimu jika kamu sudah masuk saatnya kematian”.
Malaikat yang kedua masuk dengan mengucapkan salam dan berkata : “Aku yang diserahi minumanmu, dari air atau lainnya. Aku mencari dalam bumi yang di timur dan di barat. Maka tidaklah aku dapatkan bagimu seteguk air ketika dekatnya saat kematian”.
Malaikat yang ketiga masuk mengucap salam seraya berkata : “Aku yang diserahi nafas-nafasmu. Aku mencari dari bumi timur dan barat. Maka tidaklah aku dapatkan satu nafas dari nafas-nafasmu”.
Kemudian malaikat yang keempat masuk mengucap salam seraya berkata : “Aku yang diserahi dengan ajalmu, aku mencari di bumi timur dan barat. Maka tidak aku temui bagimu walau satu jam”.
Selanjutnya Malaikat Kiramul Katibin masuk kepadanya dari arah kanan dan kiri.
Malaikat sebelah kanan berkata : “Keselamatan bagimu, aku adalah yang diserahi amal kebajikanmu”. Maka keluarlah lembaran yang putih dan diberikan kepadanya seraya berkata : “Lihatlah kepada amalmu”. Maka dikala itu ia merasa gembira dan riang.
Malaikat sebelah kiri berkata : “Keselamatan bagimu. Akulah yang diserahi amal kejahatanmu”. Maka keluarlah lembaran yang hitam dan diberikan kepadanya sambil mengatakan : “ Lihatlah kepadanya !”. Maka dikala itu keringatnya mengalir.
Kemudian hamba itu melihat kekanan dan kekiri kerana takut untuk membaca lembarannya. Maka malaikat memegang lembaran dan melemparkannya ke bantal, lalu ia kembali.
Setelah itu datanglah Malaikat maut, dan disebelah kanan hamba itu adalah malaikat Rahmat, disebelah kirinya pula malaikat azab. Apabila roh itu telah sampai di kerongkong, maka malaikat maut pun mencabutnya. Jika ia termasuk orang yang bahagia, maka malaikat Rahmat memanggilnya dan jika ia termasuk golongan orang yang celaka, maka malaikat azab akan memanggilnya.
Orang Mu’min tatkala sakaratil maut, maka turunlah malaikat yang putih berseri wajahnya, mereka membawa kafan dari kafan-kafan surga dan cendana dari cendana-cendara surga. Malaikat maut lalu duduk di sekitar kepalanya seraya berkata : “Keluarlah wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada ampunan ALLAH dan keredaannya”.
Lalu malaikat membawa roh itu ke hadirat Tuhan seru sekalian alam. Jika ia orang yang bahagia, maka ALLAH berkata kepadanya : “Kembalilah kamu kepada badannya sehingga ia melihat apa yang berada dari tubuhnya. Kemudian para malaikat itu membawa roh itu kembali kerumahnya. Maka roh itu melihat akan sekalian ahli di rumahnya ada yang bersedih dan ada yang tidak. Namun roh itu tidak berkuasa untuk berbicara. Apabila jenazah diiringi ke kuburan, maka ALLAH S.W.T memerintahkan agar roh kembali ke tubuhnya.
Para ulama’ berkhilaf dalam periwayatan, sebahagiannya mengatakan bahawa roh itu dijadikan sebagaimana keadaan semula. Sebahagiannya mengatakan bahawa yang ditanyakan Munkar dan Nakir adalah kepada roh yakni bukan jasadnya.
Dari Atsar yang shahih menurut ahlul ilmi mengenai ditetapkannya bagi seorang hamba itu denga siksaan kubur, dan ia tidak akan lepas dengan ehwal kubur.
Al-Faqih mengatakan : “Barang siapa ingin selamat dari siksa kubur, peliharalah ia dari empat perkara dan jauhilah empat perkara pula.

Empat perkara yang perlu dipelihara itu ialah :
1. Memelihara Solat
2. Bersedekah
3. Membaca AL-QURAN
4. Banyakan membaca tasbih

Manakala empat perkara yang perlu dijauhi pula ialah :
1. Berdusta
2. Khianat
3. Mengadu domba
4. Kencing pada badan ( Tidak beristinjak )

Kemudian, datanglah malaikat Munkar dan Nakir lalu bertanya kepada mayat : “Siapa Tuhanmu…..sampai akhir…..Maka jika ia seorang yang berbahagia sudah pasti ia menjawab Tuhan ku ALLAH S.W.T, Nabi ku Muhammad SAW, Agama ku Islam…..”
Maka para malaikat berkata kepadanya : “Tidurlah kamu sebagaimana tidurnya mempelai”. Keduanya terus membukakan lubang di sisi kepalanya. Dari lubang itu mayat dapat melihat tempat dan kedudukannya di surga. Lalu keduanya kembali beserta roh menuju langit dan menyimpannya di dalam qandil yang digantungkan pada Arasy.”.
Jika mayat seorang yang celaka, lalu malaikat maut datang dan duduk dekat kepalanya seraya berkata : “Wahai nafsu yang jahat, keluarlah kepada kemurkaan ALLAH”. Kemudian roh itu dibawa ke langit dunia, maka oleh kerana roh tersebut ditutuplah segala pintu-pintu langit. Lalu memanggil manggillah pemanggil dari sisi ALLAH : “Kembalikanlah roh itu ke tempat tidurnya. Lantas mereka mengembalikannya ke kuburnya. Kemudian datanglah Munkar dan Nakir yang suara keduanya amat menggerunkan dan mata keduanya seperti petir yang menyambar.Lalu bertanya keduanya : “Siapakah Tuhan mu”. Sahut mayat tersebut : “Entah tidak tahu”.
Maka kedengaran suara disamping kubur : “Wahai Munkar dan Nakir pukul saja orang itu”. Maka Munkar dan Nakir memukulnya dengan palu dari besi”. Andaikata para makhluk sama berkumpul seluruhnya nescaya tidak akan dapat mengelak dari pukulan itu. Maka menyalalah kuburnya menjadi api, dan kubur menyempit antara dada dan punggungnya. Kemudian datanglah seorang lelaki kepadanya dengan rupa yang buruk dan hina. Lelaki itu berkata : “ALLAH telah membalas kejahatan mu, demi ALLAH tidaklah kamu melakukan suatu kebajikan. Kamu sentiasa lalai untuk taat tapi bersegera untuk melakukan kema’siatan kepada ALLAH”.
Mayat berkata : “Siapa kamu ? aku tidak pernah melihat sejijik kamu di dunia”. Lelaki itu menjawab : “Akulah amal perbuatan mu yang jahat”. Lalu dibukakan pintu ke neraka bagi si mayat. Ia melihat tempat duduknya di neraka terus menerus sehingga datangnya hari kiamat.

Sunday, October 26, 2008

HIDUP BELUM TENTU, MATI SUDAH PASTI

Kematian itu adalah Hak, ia benar-benar akan dialami dan dirasai oleh setiap makhluk yang bernyawa. Mahu atau tidak, kita pasti akan menyusulnya.
Alangkah beruntungnya orang-orang yang sentiasa memikirkan hari kematian, mereka bertungkus lumus melaksanakan segala suruhan ALLAH dan menghindari segala larangannya. Mereka sering merenungkan kesulitan-kesulitan yang bakal diharungi tatkala datangnya sakaratul maut kelak. Lebih menguatirkan lagi bagaimanakah kesudahan alam kubur nanti. Kesengsaraannya, kegelapannya, ulat-ulatnya, ular-ularnya dan banyak lagi.Begitu juga bagaimanakah untuk menghadapi malaikat Munkar dan Nakir. Semuanya pasti, alam barzakh itu benar. Ia tetap akan kita lalui apabila tiba masanya. Tidak ada satu makhluk pun yang dapat menangguh kematiannya apabila ALLAH menghendakinya.

Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud :
“ Maha suci ALLAH yang ditangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya”
( Al-Mulk : 1~2 )

Juga Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud :
“ Tidak ada Tuhan selain Dia, Yang menghidupkan dan mematikan”
( Al-A’raaf : 158 )

Juga Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud :
“ Dan Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah yang ( mengatur ) pertukaran malam dan siang. Maka apakah kamu tidak memahaminya ?”
( Al-Mu’minuun : 80 )

Sunday, April 20, 2008

Alam Barzakh

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Pencipta semesta alam. Selawat dan salam bagi makhluk Allah yang paling mulia Nabi Muhammad s.a.w. Nabi pilihan Allah yang menyeru kepada kebenaran, yang membawa petunjuk ke arah jalan yang lurus. Selawat dan salam untuk baginda, keluarganya dan juga para sahabatnya.
Firman Allah swt. di dalam Al-Quran, ertinya : "Kemudian Dia mematikannya dan memasukkannya ke dalam kubur, kemudian bila Dia menghendaki, Dia membangkitkannya kembali" ( 'Abasa : 21-22 ).
Dan Allah swt. juga berfirman, ertinya : "Bermegah-megahan telah melalaikan kamu, sampai kamu masuk ke dalam kubur" ( At-Takaatsur : 1-2 ).